Tuesday 30 July 2013

Lailatul Qadar, Aku Merinduimu

Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah rahsia Allah s.w.t. menurunkan malam Lailatul-Qadar dalam salah satu malam dalam bulan Ramadhan tersebut.

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t. menjanjikan bahawa mereka yang beramal diberi ganjaran seperti beramal ibadat selama 1,000 bulan atau 83 tahun (maksud al-Quran, surah al-Qadr).

Walau bagaimanapun, hanya Allah s.w.t. jua yang mengetahui, pada malam yang manakah Lailatul-Qadar itu diturunkan. Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Setengah ulama pula menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu malam yang ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kelebihan Malam Lailatul-Qadar
Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Qadar, malam Lailatul-Qadar itu mempunyai fadhilat dan kelebihan yang amat besar. Faedah dan ganjarannya bagi mereka yang beriktikaf dan beribadai pada malam tersebut adalah menyamai ibadat beriktikaf selama 1,000 bulan atau 83 tahun.
 

Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan supaya umat Islam berusaha mencari dan beriktikaf di malam Lailatul-Qadar itu. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Carilah malam Lailatul-Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
 

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang lain, yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menyatakan bahawa baginda bersabda yang bermaksud:
“Carilah malam Lailatul-Qadar di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan; pada malam yang ke 21, 23 dan 25.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi dan Imam Malik)

Imam-imam mazhab termasuk Imam Syafie masing-masing telah membuat kajian- ada yang berpendapat malam Lailatul-Qadar itu berlaku pada malam 27 Ramadhan, 21 Ramadhan dan sebagainya, masing-masing dengan hujahnya. Bagaimanapun Allah jua yang mengetahuinya.

Tanda-tanda Malam Lailatul-Qadar

Hassan al-Basri meriwayatkan bahawa tanda-tanda turunnya Malam Lailatul-Qadar, diantaranya ialahsuasana alam pada malam itu tenang, damai dan tenteram, tidak panas dan tidak pula terlalu dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.

Dalam Sahi Muslim disebutkan bahawa pada Malam Lailatul-Qadar seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul-Muntaha ke bumi. Mereka membawa rahmat Allah memasuki rumah-rumah dan memberi salam kepada orang-orang Islam, kecuali rumah orang yang ada anjing. Apabila matahari naik esoknya, malaikat-malaikat itu naik semula ke langit dengan serentak. Sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas cahaya matahari, menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang. Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam Lailatul-Qadar ialah Solat Sunat Lailatul-Qadar, zikir, tasbih, berdoa, beriktikaf dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment